Rabu, 13 Februari 2013

Pendidikan persekolahan dalam masyarakat orang Asli


 Pendidikan formal melalui sistem persekolahan bukanlah satu fenomena yang baru kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia. Mereka telah diperkenalkan kepada sistem persekolahan ini sejak zaman penjajahan British lagi.

Misalnya pada tahun 1930an, telah terdapat usaha mubaligh Kristian di Negeri Perak dan Pahang, membangunkan sekolah di perkampungan Orang Asli untuk mengajar penduduk dikampung tersebut membaca dan menulis.

Langkah ini diambil juga bagi memudahkan mereka menyebarkan ajaran agama Kristian kepada masyarakat tersebut.

Beberapa orang mubaligh dari suku Kaum Batak di Sumatera telah dibawa ke sini untuk menjalankan tugas tersebut.

Seterusnya langkah mengembangkan pendidikan melalui persekolahan ini telah dilanjutkan oleh Richard Noone selepas Perang Dunia Ke2 setelah beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Hal Ehwal Orang Asli pada ketika itu.

Sekolah-sekolah yang dibangunkan ini kebanyakannya terletak dalam kawasan Pos Keselamatan di pedalaman hutan. Guru-guru yang mengajar adalah terdiri daripada kakitangan keselamatan dan pegawai luar JHEOA.

Tujuan pendidikan ini diperkenalkan adalah untuk membolehkan Orang Asli membaca dan mengira, di samping memenangi hati mereka supaya tidak terpengaruh kepada propaganda komunis yang sedang berjuang menentang kerajaan kolonial pada masa itu.

Dengan adanya Pos Keselamatan dan sekolah di kawasan kediaman mereka, maka sekurang-kurangnya keinginan masyarakat ini untuk terus hidup berpindah-randah dapat disekat, di samping itu usaha untuk mengawal dan melindungi mereka daripada dipengaruh oleh komunis menjadi lebih mudah.

Namun begitu sistem persekolahan yang disediakan ini adalah tidak tersusun dan teratur dan semua guru yang bertugas adalah tidak terlatih.

Selepas tahun 1960an, setelah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) diperkemaskan dan diwujudkan Bahagian Pendidikan, barulah usaha mencapai kualiti pendidikan yang lebih baik diaturkan.

Objektif yang ingin dicapai oleh Bahagian Pendidikan di JHEOA ini ialah untuk mempertingkatkan taraf mutu pendidikan, mengurangkan dan membasmi buta huruf serta menghapuskan tahap keciciran yang tinggi dalam kalangan anak-anak Orang Asli.

Selain daripada itu Bahagian ini juga bertanggung-jawab memperbaiki dan menyelanggara perkhidmatan pendidikan seperti menyediakan kemudahan persekolahan termasuk menyediakan guru, buku2 serta alat tulis, pakaian seragam serta makanan untuk pelajar.

Bahagian ini juga berperanan mewujudkan hubungan dengan Kementerian Pendidikan dan Institusi Pengajian Tinggi untuk membantu murid-murid Orang Asli mendapatkan kemudahan pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi.

Kerana sistem pendidikan yang disediakan di sekolah-sekolah JHEOA ini lemah, maka kadar keciciran menjadi begitu tinggi.

Sehingga tahun 1990 kadar keciciran pelajar Orang Asli diperingkat sekolah rendah masih mencapai 60% (Hasan Mat Nor 1997).

Sehingga awal tahun 1996, tanggung-jawab menyediakan kemudahan persekolahan kepada masyarakat Orang Asli masih terletak dibawah bidang kuasa JHEOA.

Sekolah-sekolah yang disediakan kepada pelajar Orang Asli terbahagi kepada dua jenis sekolah.

Sekolah jenis pertama dikenali sebagai Sekolah Rendah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Terdapat 45 buah sekolah jenis ini di seluruh Semenanjung. Biasanya sekolah jenis ini terdapat dikawasan pedalaman dan ditadbir sepenuhnya oleh JHEOA.

Tahap pendidikan yang disediakan hanyalah sehingga Darjah Tiga sahaja. Sekolah jenis kedua pula dikenali sebagai sekolah usahasama JHEOA dengan Kementerian Pendidikan.

Terdapat sejumlah 50 buah sekolah jenis ini dibina dan kebanyakannya terletak dikawasan pinggir.

Pihak JHEOA bertanggung-jawab menyediakan kemudahan bangunan dan biaya pendidikan bagi anak-anak Orang Asli, manakala pihak Kementerian Pendidikan menyediakan guru-guru terlatih untuk bertugas di sekolah tersebut.

Untuk memudahkan anak-anak Orang Asli yang tinggal jauh daripada sekolah meneruskan persekolahan mereka, JHEOA juga telah membina asrama-asrama yang terletak berhampiran dengan sekolah tersebut.

Anak-anak Orang Asli, pada usia yang begitu muda terpaksa berpisah daripada keluarga dan menginap di asrama yang disediakan ini semata-mata untuk membolehkan mereka bersekolah.

Bagi pelajar yang melanjutkan persekolahan di sekolah menengah pula, JHEOA juga telah mendirikan asrama-asrama JHEOA berhampiran dengan pejabat-pejabat JHEOA yang terletak di bandar.

Kualiti asrama yang disediakan ini tidaklah sama dengan kualiti asrama yang ditadbir oleh Kementerian Pendidikan. Terdapat sejumlah 45 buah asrama tersebut yang dikelolakan oleh Bahagian Pendidikan JHEOA.



Oleh sebab JHEOA mempunyai peruntukan pendidikan yang terhad, maka kemudahan pendidikan yang terdapat di sekolah JHEOA adalah jauh lebih rendah mutunya berbanding Sekolah Kebangsaan yang ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

Dari sudut pembelajaran pula adalah menjadi amalan di sekolah-sekolah JHEOA tidak membenarkan murid-murid membawa buku teks ataupun buku latihan balik ke rumah.

Ini dilakukan kerana pihak sekolah bimbang buku-buku tersebut akan rosak atau koyak. Peraturan sebegini telah menyebabkan murid-murid tidak berpeluang mengulang kaji pelajaran mereka di rumah dan menjadikan mereka lemah dalam memahami pelajaran yang diajarkan.

Ia juga telah menyumbang kepada pembentukan sikap murid-murid, melihat pelajaran itu sebagai remeh dan tidak penting.

Ibu-bapa juga tidak dapat menegaskan kepada anak-anak mereka perlunya mengulang kaji pelajaran di rumah kerana tiada bahan-bahan bacaan dan latihan.

Suasana pendidikan yang demikian telah menjadi faktor kepada pencapaian pendidikan yang rendah di sekolah JHEOA.

Pada 19 Januari 1996 yang lalu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akhirnya telah mengambil alih pengurusan kesemua 95 buah sekolah JHEOA ini.

Sejak daripada tarikh tersebut pelajar-pelajar Orang Asli telah mendapat pendidikan yang lebih berkualiti dan setanding dengan sekolah-sekolah kebangsaan.

Tindakan Kementerian Pendidikan mengambil alih pentadbiran sekolah-sekolah JHEOA telah menghasilkan kesan yang positif.

Didapati antara tahun 2000–2010 sejumlah 271,574 murid Orang Asli telah mendaftar di sekolah rendah dan seramai 90,164 pelajar Orang Asli berada di sekolah menengah.

Di samping itu seramai 1,180 orang pelajar Orang Asli telah menamatkan pelajaran mereka dari Pusat-pusat Pengajian Tinggi (JHEOA:2011).

Kadar keciciran di peringkat sekolah rendah juga telah menurun. Misalnya pada 2004 seramai 4,225 orang pelajar Orang Asli telah mendaftar mengikuti pelajaran di tahap darjah 1 dan enam tahun kemudian pada tahun 2010 seramai 4,411 telah menamatkan persekolahan pada tahap darjah 6.

Ini menunjukkan terdapatnya sejumlah -4% keciciran. Walaupun Kementerian Pendidikan telah mengambil alih sepenuhnya pentadbiran persekolahan JHEOA, namun JHEOA atau kini telah dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) masih terus mengekalkan bantuan kepada pelajar Orang Asli.

Antara bantuan yang masih diteruskan meliputi bantuan pakaian seragam, pengangkutan ke sekolah, yuran pengajian, bantuan makanan sekolah pedalaman, keperluan diri di asrama, kelas tambahan untuk peperiksaan (tuition) serta kursus motivasi.

Usaha kerajaan memajukan kualiti pendidikan dan meneruskan bantuan persekolahan seperti yang disebutkan itu telah menunjukkan kesan yang sangat positif.

Pada tahun 2011 yang lalu seramai 7 orang pelajar Orang Asli telah menerima anugerah pelajar cemerlang peringkat STPM, 42 orang menerima anugerah pelajar cemerlang peringkat SPM dan 90 orang menerima anugerah pelajar cemerlang peringkat PMR dan 48 orang menerima anugerah pelajar cemerlang pada peringkat UPSR.

Berbanding pada tahun sebelumnya hanya 9 orang menerima anugerah cemerlang pada peringkat SPM, 59 orang pada peringkat PMR dan 45 orang pada peringkat UPSR.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa masyarakat Orang Asli mampu bergerak maju bersama masyarakat Malaysia yang lain dan bersedia untuk berubah menjadi masyarakat yang maju.



Rujukan:

1. 1. JAKOA 2011. Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli 2011-2015. Jabatan Kemajuan Orang Asli. K. Lumpur.

2. 2. Hasan Mat Nor 1997. Kajian Keciciran Di kalangan Pelajar Orang Asli Peringkat Sekolah Rendah. Laporan Akhir. Biro Rundingan, UKM.

Laporan : copy paste dari http://www.komunitikita.my