Ahad, 19 Disember 2010

Kementerian Pelajaran bersedia hadapi sesi persekolahan baru

2010/12/16 Berita Harian Online

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bersedia menghadapi sesi persekolahan tahun 2011 termasuk daripada aspek bekalan buku teks, kelengkapan bilik darjah, keperluan guru serta pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun ada beberapa kekurangan kerusi dan meja di Sabah dan sedikit kekurangan guru, langkah sewajarnya telah diambil bagi mengatasinya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 457,760 kanak-kanak akan memasuki Tahun Satu manakala Tingkatan Satu membabitkan 474,803 orang pelajar.
"Kita nak pastikan semua sekolah berada dalam keadaan 100 peratus bersedia dalam aspek pengurusan dan keperluan untuk menghadapi sesi persekolahan baru tahun 2011.

"Dengan persiapan rapi ini pihak kementerian percaya kita akan dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2011 di Bangunan Parlimen di sini.

Muhyiddin berkata, beliau telah memberi arahan agar 6,012 set kerusi dan meja plastik disediakan untuk sekolah di Sabah bagi mengatasi kekurangan sebelum sekolah dibuka.

Bagi negeri yang mana cuti jatuh pada Ahad (kumpulan A), hari persekolahan bermula pada 2 Januari 2011 manakala untuk kumpulan B, hari persekolahan bermula pada 3 Januari.
Muhyiddin berkata, jumlah hari persekolahan 2011 termasuk cuti am adalah 210 hari dan cuti penggal 78 hari.

Beliau berkata, daripada segi bekalan buku teks pula, arahan telah dberikan agar apabila sekolah hendak dibuka, buka-buku teks sudah sampai untuk diagih kepada pelajar.

Katanya, sekolah rendah akan kekurangan 4,653 guru dan ini akan diisi dengan guru sandaran tidak terlatih atau guru sandaran yang akan dipilih.

Di sekolah menengah pula, kekurangan 3,720 orang guru akan turut diisi dengan guru sandaran.

Muhyiddin berkata, perkara lain akan turut diberi perhatian antaranya aspek keselamatan dan kebersihan makanan di kantin agar ibubapa tidak merasa bimbang mengenai aspek ini dan juga mengenai isu jenayah.

Timbalan Perdana Menteri mahu tandas di sekolah sentiasa dalam keadaan sempurna kerana ada tandas sekolah yang rosak atau kotor.

"Kita akan bincang dengan pihak kontrakor yang menjaga ini supaya kekerapan mengurus kawasan tandas sekolah dapat dipertingkatkan lagi.

"Di samping itu mungkin pihak sekolah dapat menjadual waktu mana pelajar kita boleh mengambil bahagian secara yang sesuai untuk mereka menjaga kebersihan tandas di sekolah," katanya.

Mengenai kejadian buli, Muhyiddin berkata walaupun peratusannya amat kecil, beliau berharap agar kes seperti itu tidak berlaku langsung.

Justeru, beliau meminta guru disiplin sentiasa memantau keadaan.

"Kita juga mungkin meminta supaya pihak berkuasa keselamatan di kawasan tertentu bekerjasama dengan gurubesar dan pengetua kalau mereka dapati ada di sekolah mereka pelajar melakukan sesuatu ataupun dihadap dengan ugutan di luar sekolah.

"Maka pengetua dan guru besar juga boleh terbabit membantu selesaikan masalah itu dengan kerjasama pihak keselamatan ataupun polis," katanya.

Muhyiddin berkata, 2011 juga akan menyaksikan pelaksanan beberapa dasar termasuk KSSR yang bermula dengan Tahun Satu.

Beliau berkata, jumlah masa diperuntukkan untuk pelaksanaan KSSR ialah 1,380 minit seminggu dan satu waktu pengajaran dan pembelajaran ialah 30 minit setiap satu.

Katanya, satu lagi dasar ialah "satu murid satu sukan", di mana kementerian mahu ini dilaksana sepenuhnya mulai 2011.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah di negara ini terletak di pelbagai kawasan seperti bandar, luar bandar dan pedalaman, itu tidak harus menghalang mereka daripada mengadakan program sukan yang sesuai bagi sekolah masing-masing.

"Murid yang tidak mengalami masalah kesihatan wajib dia daftar untuk dia ambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

"Sekolah hendaklah mengopitum penggunaan kemudahan peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan sekitarnya dengan mengutamakan keselamatan murid," katanya. - BERNAMA