PAHANG berjaya menamatkan kemarau trofi Piala Malaysia selama lebih dua dekad apabila mengejutkan juara bertahan, Kelantan 1-0 dalam aksi final edisi ke-87 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Lebih manis, ia kejayaan ketiga skuad Tok Gajah mendakap trofi Piala Malaysia selepas muncul juara pada 1983 dan 1992.
Gol tunggal penyerang import Pahang, Matias Ruben Conti pada minit ke-58 sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan dalam aksi yang penuh dramatik itu, sekali gus mengecewakan hasrat Kelantan mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dijulang mereka musim lalu.
Terdahulu dalam perlawanan itu, kesilapan tonggak pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya seawal minit pertama nyaris dihukum rangkaian penyerang Kelantan namun hantaran kapten, Mohd. Badhri Radzi gagal disambar Indra Putra Mahyuddin.
Tersentak dengan asakan itu, skuad Tok Gajah yang kembali mengatur gerakan bagaimanapun kecewa apabila beberapa percubaan Conti dan Azamuddin Akil gagal menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.
Sorakan lebih 30,000 penyokong Sang Kijang dilihat bergemuruh seketika pada minit ke-22 namun jaringan Norfarhan Mohamed dibatalkan selepas terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Peluang terbaik Pahang memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-27 namun rembatan R. Surendren sekadar terkena tiang sementara percubaan susulan Conti melewati palang gol ketika Khairul Fahmi sudah tertewas.
Di sebalik penguasaan Tok Gajah sepanjang babak pertama, kebijaksanaan The Red Warriors melancakan serangan kilat juga hampir membuahkan hasil, namun rembatan deras Norfarhan berjaya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-34.
Masalah komunikasi di benteng pertahanan Tok Gajah terutamanya pada penghujung babak pertama juga nyaris dihukum Mohd. Badhri, namun Khairul Azhan dilihat lebih pantas mengawal keadaan.
Skuad kendalian Dollah Salleh yang bertambah garang pada babak kedua semakin kecewa apabila percubaan pemain gantian, Mohd. Fauzi Roslan melambung tinggi sementara percubaan Azamuddin juga tidak menemui sasaran meskipun Khairul Fahmi telah tertewas.
Conti akhirnya muncul wira Tok Gajah apabila bijak menanduk masuk gol kemenangan yang melepasi jangkauan Khairul Fahmi hasil hantaran pemain terbaik perlawanan, Azamuddin pada minit ke-58 yang berasal dari Kampung Relong, Kuala Lipis Pahang.
Usaha keras Kelantan untuk menyamakan kedudukan selepas itu juga dilihat menemui jalan buntu apabila rembatan deras Dickson dari luar kotak penalti berjaya ditepis Khairul Azhan dua minit kemudian sebelum dia sekali lagi bertindak cemerlang menepis keluar sepakan penjuru berbahaya Mohd. Badhri pada minit ke-65.
Peluang The Red Warriors untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan juga akhirnya terkubur apabila Khairul Azhan sekali lagi berjaya menepis percubaan Ahmad Fakri Saaraini dan Norfarhan pada penghujung babak kedua.
Kali terakhir Pahang menjuarai Piala Malaysia apabila mengecewakan Kedah 1-0 di pentas final.