Jumaat, 9 Disember 2011

KKLW cadang MRSM khas untuk anak-anak Orang Asli

KUALA KLAWANG, JUMAAT, 09 Disember

KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas bagi pelajar Orang Asli.

Mengumumkan demikian, Timbalan Menterinya Datuk Hasan Malek berkata, “cadangan itu baik tapi ia memerlukan kajian yang lebih terperinci.

“Kita terlebih dahulu akan mendapatkan maklum balas dan pandangan dari semua pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pelajaran dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia”.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup program Mesra Didik Pelajar Orang Asli 2011 yang disertai 355 orang pelajar darjah 6 Orang Asli dari Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, jika perkara ini terlaksana, ia adalah seperti MRSM untuk anak-anak Felda; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita serius dalam perkara ini untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang di kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini,” katanya. – Bernama

pss/ seramai 20 pelajar darjah 6 SK Menson terlibat dalam program mesra didik ini..