BENCANA 'kembar' tsunami dan gempa bumi yang melanda Jepun lebih seminggu lalu pasti mengingatkan kita kepada tragedi sama yang menimpa negara jiran, Indonesia khususnya di Banda Aceh.Siapa dapat melupakan tragedi menyayat hati 26 Disember 2004 apabila gempa bermagnitud 9.1 menggegarkan wilayah Aceh dan 10 negara lain yang meragut lebih 200,000 nyawa. Malah Aceh disifatkan ‘lubuk’ bencana kemanusiaan itu apabila seramai 170,000 penduduknya terbunuh dan ramai lagi yang tidak ditemui.
Malah, kesempatan penulis yang bertandang ke sana bagi mengikuti misi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ke Banda Aceh baru-baru ini bagi menyerahkan bantuan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Padang Tijie, Pidie kepada Yayasan Mina Raya, terkejut melihat pembangunannya apalagi ia pernah dilabelkan ‘padang jarak padang tekukur’ selepas tragedi berkenaan.
Selain kagum melihat tersergamnya bangunan baru dan rumah hasil bantuan masyarakat antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semangat penduduknya yang tidak mudah menyerah kalah dan sanggup bangun memulakan kehidupan baru, juga harus dipuji.
Kebanyakan penduduk yang majoritinya beragama Islam, lebih tertumpu kepada aktiviti pertanian dan perniagaan secara kecil-kecilan. Bersulamkan semangat kental, mereka bagaimanapun masih memerlukan bantuan kerajaan bagi memulakan semula kehidupan baru.
Seorang penduduk Alam Shah Osman, 40 yang berasal dari Pidie berkata, majoriti penduduk di sekitar bandar itu kembali kepada mata pencarian asal mereka dengan mengusahakan pelbagai jenis tanaman terutama padi.
Katanya, antara tanaman lain yang menjadi ekonomi utama penduduk adalah pokok pisang kerana berpotensi untuk dipasarkan ke bandar berhampiran dengan kebanyakan pengeluaran tertumpu di jalan Banda Aceh menuju ke Pidie.
“Kebanyakan aktiviti utama penduduk masih bersifat tradisional dan memerlukan satu tempoh masa yang panjang bagi membangunkan semula ekonomi selepas melalui satu fasa kemusnahan yang sangat dahsyat.
“Kami berharap kerajaan dapat mewujudkan pelbagai program yang dapat meningkatkan ekonomi penduduk lagi memandangkan mereka hanya tertumpu kepada beberapa sektor saja pada masa ini,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya membangunkan pelbagai teknologi baru dalam bidang pertanian supaya dapat membantu penduduk untuk mengeluarkan hasil tanaman mereka dengan lebih efektif dan bermutu tinggi.
Bagi Wanyis Zakaria, 30, berkata walaupun keadaan sudah pulih beberapa tahun lalu, namun kebanyakan penduduk dilihat masih kurang membabitkan diri dalam aktiviti ekonomi berskala besar.
Katanya, kebanyakan penduduk kurang membabitkan diri dalam sektor industrialisasi yang boleh memberi pulangan lumayan berlipat ganda mengakibatkan taraf hidup rakyat di negara ini masih tidak berubah.
“Oleh itu, penduduk perlu menerokai dan menceburi bidang ekonomi yang kurang menjadi tumpuan orang ramai kerana ia lebih berdaya saing dan maju, berbanding hanya mengutamakan aktiviti bersifat tradisional.
“Selain itu, kerajaan juga perlu berusaha untuk menarik lebih banyak pelabur asing terutama di bandar ini bagi memastikan penduduk turut menikmati pembangunan ekonomi terutama dalam mendapatkan peluang pekerjaan lain,” katanya.
Beliau berkata, bantuan dari negara luar dan NGO tempatan atau luar untuk pembangunan prasarana dan infrastruktur juga diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dengan cepat di bandar terbabit.
Sementara itu, Pegawai Daerah atau lebih dikenali sebagai Bupati Pidie, Mirza Ismail, berkata pihaknya ingin menjadikan kawasan ini sebagai daerah pelancongan berasaskan pertanian kerana kegiatan utama adalah bidang pertanian, perhutanan, ternakan, perikanan dan hasil laut.
“Walaupun aktiviti ekonomi masih tidak banyak, namun pengeluaran pertanian sudah memberi pendapatan yang lumayan dan saya ingin menarik semula pelancong datang ke sini bagi memulihkan ekonomi selepas dilanda tsunami.
“Malah, lebih 100 negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia dan Kanada sudah menghulurkan pelbagai bantuan yang diharap dapat membangunkan semula ekonomi selepas prasarana dan infrastruktur pulih,” katanya sambil menambah, pihak berkuasa mengambil langkah mewujudkan sistem amaran dan maklumat Jabatan Meteorologi dan data keadaan daerah sebulan atau seminggu sekali, bagi menghadapi sebarang kemungkinan.