Isnin, 27 September 2010

British Council tingkat penguasaan BI

BRITISH Council baru-baru ini memperkenalkan Pasukan Penyelamat Bahasa Inggeris (ERT) dalam usahanya membantu rakyat negara ini yang bermasalah menguasai bahasa itu dari aspek pertuturan atau pemahaman melalui tip-tip dan bahan yang diperlukan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P).

Pasukan yang dianggotai oleh guru-guru dari British Council yang berpusat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu kini sedang menjalankan misi membantu seramai mungkin ramai negara ini yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Pengarah Perkhidmatan Bahasa Inggeris British Council, Sam Ayton berkata, British Council telah membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris rakyat Malaysia melalui pelbagai cara dan usaha sejak beberapa dekat lalu.

"Usaha ini diperluaskan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan sektor korporat untuk melatih guru di seluruh negara, menyediakan material mengajar bahasa Inggeris dalam talian, menjalin kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah tempatan dan luar negara selain mengadakan bengkel bersama ibu bapa bagi membantu mereka mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak semasa di rumah," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut mengendalikan Pusat Mengajar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menyediakan teknik latihan dan pengajaran bahasa Inggeris bermutu kepada kanak-kanak, orang dewasa dan golongan profesional.

"ERT adalah inisiatif yang cukup menyeronokkan dan mampu menjangkau lebih ramai rakyat negara ini. Projek ini membolehkan kami berhubung dan berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang mahu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.

"Guru-guru kami sangat teruja untuk berinteraksi dengan orang ramai dengan berkongsi tip dan menjawab soalan yang diajukan," jelasnya.

Kumpulan ERT kini menawarkan khidmat nasihat, hadiah dan turut menyeru orang ramai menyertai misi meningkatkan kesedaran selain memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam semua peringkat melalui laman sesawang www.englishrecueteam.com

Beliau memberitahu, laman sesawang yang mudah digunakan terbahagi kepada empat seksyen iaitu Log Book, Grammar Guru, English S.O.S. dan ERT Podcasts.

"Seksyen Log Book adalah laman di mana guru akan berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan bahasa Inggeris dari tip membantu ibu bapa mengajar anak-anak di rumah hingga ke perkembangan terkini dalam bahasa Inggeris orang dewasa.

"Laman Grammar Guru pula membolehkan sesiapa sahaja untuk mengemukakan soalan mengenai bahasa Inggeris kepada guru-guru British Council," ujarnya.

Katanya lagi, laman English S.O.S. pula menyediakan pertandingan menyeronokkan di mana orang ramai boleh memuat-naik gambar yang memaparkan penggunaan bahasa Inggeris yang salah serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah seperti baucer dan iPod Touch.

"Manakala laman ERT Podcasts pula mengandungi beberapa siri podcast yang diramkan oleh guru British Council di mana mereka berkongsi pengalaman peribadi dalam P&P bahasa Inggeris selain berkongsi tip-tip yang berguna," kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Komunikasi British Council, Reezal Esa berkata, laman sesawang Pasukan ERT membantu guru bahasa Inggeris menawarkan kepakaran mereka di luar bilik darjah melalui pendekatan yang lebih luas dan berkesann.

"Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat negara ini untuk terus belajar dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka dan inilah cara yang paling mudah serta menyeronokkan," ujarnya.


Petikan dari : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia