Selasa, 27 September 2011

Sabarlah Cikgu


Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu...

Semasa Sesi Pengajaran

Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...

Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya.

Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Jaga adik". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...

Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.

Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - Alhamdulillah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...

Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".

Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini... Terima kasihku ucapkan...


Ahad, 4 September 2011

SAPS jadi tempat ketiga dalam carian Google Malaysia


KUALA LUMPUR – Pencarian ucapan dan lagu-lagu sempena Hari Raya Aidilfitri menduduki tempat teratas dalam carian menerusi syarikat penyedia perkhidmatan Internet, Google sepanjang bulan Ogos lalu.

Jurucakap Google Malaysia berkata, orang ramai telah menggunakan khidmat enjin carian popular, Google Malaysia itu untuk mendapatkan contoh-contoh ucapan Hari Raya Aidilfitri. Pada masa yang sama mereka mendengar dan memuat turun lagu-lagu hari raya yang popular.

“Selain itu, Liga Perdana Inggeris 2011/2012 yang bermula baru-baru ini menduduki tempat kedua dalam carian paling kerap dan permainan bola sepak online,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, System of Analysis for School Examination (SAPS) pula menduduki tempat ketiga. Melalui kemudahan itu para pendidik dapat menghantar data-data berkaitan peperiksaan secara online dengan mudah dan senang.

Pencarian untuk blog Jejari Runcing milik Aimie Harmelia juga tinggi selepas penulisnya dikatakan memutuskan pertunangan dengan penjaga gol pasukan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.


Jumaat, 2 September 2011

Simulasi Solat Ketika Perang



TENTERA muslimin terpaksa menangguhkan solat mereka seketika selepas dserang oleh askar musuh.


SOLAT merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda.

Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu.

Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan ‘hadiah’ daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan.

Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.

Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

Menyedari kepentingan bersolat dalam apa jua keadaan, seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan mengadakan demonstrasi solat khauf bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Badan Dakwah dan Rohani (Badar) baru-baru ini.

Guru penasihatnya, Razali Harun, 45, berkata, demonstrasi tersebut berlangsung selama 30 minit dengan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tentera Islam dan tentera musuh.


KETIKA musuh datang dari arah bertentangan kiblat sebahagian tentera Islam menunaikan solat, manakala selebihnya berkawal bagi memastikan keselamatan rakan-rakan.


Menurutnya, modul solat khauf yang dipraktikan oleh para pelajarnya itu diperoleh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ciri-ciri asas solat itu secara berjemaah sama dengan solat jamak takdim dan jamak takhir.

Jelasnya, melalui cara itu para pelajar akan lebih faham, selain dapat merasai sendiri situasi sebenar menunaikan solat ketika perang yang tidak mempunyai begitu banyak perbezaan kecuali makmum dapat bergerak, menangguhkan solat dan menyambung semulanya selepas berperang.

“Untuk simulasi ini, kita melakukan solat mengikut tiga keadaan iaitu ketika musuh datang dari arah bertentangan kiblat, arah kiblat dan semua arah. Situasi pertama, imam akan membahagikan pasukan tentera muslimin kepada dua kumpulan.

“Kumpulan pertama akan menunaikan solat bersamanya sehingga selesai, manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.

“Kemudian berlaku pertukaran kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mengambil alih tugas mengawal keadaan, manakala kumpulan kedua akan menunaikan solat berjemaah bersama imam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Solat ikut arah musuh

Razali memberitahu, bagi situasi kedua iaitu musuh datang dari arah kiblat, pasukan tentera muslimin akan berpecah kepada empat saf. Mereka semua akan menunaikan solat dan ketika saf pertama dan ketiga rukuk bersama imam, dua saf lain iaitu kedua dan keempat akan berada di dalam keadaan qiam dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

“Saf yang pertama dan ketiga kemudiannya akan menyudahkan solat mereka sehingga selesai. Sesudah itu saf kedua dan keempat pula akan menyudahkan solat mereka, manakala saf pertama dan ketiga akan mengawal keadaan.

“Bagi situasi terakhir berlaku serangan musuh dari semua arah, tentera muslimin mengambil tempat untuk menyelamatkan diri dan membalas serangan. Setelah selesai tentera muslimin tadi akan menyudahkan solat mereka sama ada dalam keadaan duduk, berbaring ataupun berdiri mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.


SETELAH situasi kembali aman, tentera muslimin akan menyudahkan solat mereka seperti biasa.


Seorang pelajar yang juga imam solat khauf, Tuan Abdul Rahman Tuan Sheik, 16, berkata, dia teruja kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam menjayakan solat berkenaan biarpun secara simulasi.

Katanya sebelum ini, dia dan rakan-rakan hanya belajar secara teori cara untuk melakukan solat itu, namun kali ini dia dan rakan-rakan berpeluang melakukannya secara praktikal.

“Walaupun negara kita tidak pernah berperang, pengalaman yang saya kutip ketika menjayakan simulasi ini amat berharga buat diri saya. Insya-Allah ilmu yang saya pelajari ini akan digunakan sebagai mungkin selepas saya menamatkan pelajaran di sekolah ini.

“Kesimpulan yang dapat saya buat sepanjang mengikuti latihan simulasi ini menunjukkan Islam cukup menitikberatkan solat. Walau apa jua keadaan berlaku, solat harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim,” jelasnya.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Wataniah, Zakaria Yusof berkata, demonstrasi solat itu dapat memberikan banyak faedah bukan sahaja kepada para pelajar tetapi masyarakat.

“Melalui cara ini kita dapat melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dengan ilmu dunia, tetapi dalam masa yang sama dibimbing dengan ilmu akhirat,” katanya.