2011/01/28
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.Berikutan itu, kerajaan dipercayai menanggung kerugian jutaan ringgit berdasarkan harga buku teks itu RM8.20 sebuah, namun tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak kerana perkara itu disifatkan sebagai kesilapan manusia.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata sementara menunggu buku teks cetakan baru siap, guru dinasihatkan terus menggunakan buku teks berkenaan.“Kementerian Pelajaran kesal kesalahan dalam buku teks itu dan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa penyemakan semula bagi melakukan pembetulan. Buku teks itu akan digantikan dengan buku teks cetakan baru mulai Mac depan,” katanya.
Berita Harian 5 Januari lalu melaporkan Kementerian Pelajaran mengarahkan Bahagian Buku Teks (BBT) meneliti dakwaan buku teks itu dicemari banyak kesalahan tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat, sekali gus segera mengambil tindakan susulan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dipetik berkata, sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid lancar.
Sebelum itu, akhbar New Straits Times dalam ruangan surat pembaca menyiarkan dakwaan seorang pembaca buku teks Bahasa Inggeris Tahun Satu 2011 mengandungi banyak kesalahan tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat.
Pembaca menggunakan nama ‘Sandra Rajoo’ dari Ipoh, Perak, itu memperincikan contoh kesalahan berserta muka suratnya, selain mempersoalkan bagaimana kesilapan berkenaan gagal dikesan tiga penulis dan empat editor yang terbabit dalam penghasilan buku teks itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata kira-kira 396,000 buku teks KSSR English Year 1 Sekolah Kebangsaan akan dicetak bermula minggu pertama Februari.
Apabila buku teks cetakan baru itu sudah diedarkan ke semua sekolah kebangsaan, katanya, buku teks sedia ada yang mengandungi kesalahan akan ditarik balik dan dilupuskan.
Ditanya mengenai punca kesalahan dalam buku teks itu, beliau menyifatkannya sebagai kesilapan manusia yang terlepas pandang kerana ia tetap berlaku walaupun sudah disaring panel penilai DBP dan Kementerian Pelajaran.
Justeru, tiada tindakan akan diambil terhadap penulis dan editor buku teks itu kerana kesalahan berkenaan tidak dapat diletakkan sepenuhnya kepada mana-mana pihak.
“Bagaimanapun, perkara ini tidak menjejaskan integriti DBP atau Kementerian Pelajaran kerana kebanyakan kesalahan terbabit adalah kesilapan kecil, terutama pada nota kaki dan hanya sedikit pada teks,” katanya.